Kepentingan Takaful Perubatan

Pembiayaan terhadap penjagaan kesihatan perlu dilihat sebagai antara aspek yang serius dalam kalangan masyarakat hari ini.

Di negara barat, pembelian insurans perubatan dan kesihatan, turut menyokong sistem pembiayaan penjagaan kesihatan mereka menjadi lebih berkesan dan teratur. Hal yang sama yang sepatutnya berlaku di Malaysia. Pembelian takaful perubatan dan kesihatan mampu menjadi pelengkap kepada sistem pembiayaan penjagaan kesihatan yang sedia ada.

Kini, ada pelbagai produk takaful perubatan dan kesihatan di pasaran tempatan. Malangnya, masih ramai individu di negara ini tidak memiliki takaful perubatan dan kesihatan.

Mengapa hal ini berlaku? Antara sebabnya ialah sebahagian masyarakat tidak memahami peri pentingnya perlindungan takaful perubatan dan kesihatan dalam kehidupan mereka.

Pada dasarnya, takaful perubatan dan kesihatan akan membayar perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada pemilik atau pemegang polisi sebagai balasan bagi bayaran premium. Takaful perubatan dan kesihatan merangkumi beberapa jenis kontrak takaful yang melindungi risiko yang berbeza.

Polisi takaful perubatan dan kesihatan pada asas, biasanya akan memberi perlindungan terhadap risiko hilang upaya yang berpunca daripada sakit tertentu atau kemalangan. Perlindungan juga meliputi risiko menghidap penyakit kronik seperti diabetis, sakit buah pinggang, kanser, alzheimer atau masalah jantung.

Kedua-dua risiko ini jika benar-benar berlaku bukan sahaja akan menyebabkan seseorang boleh kehilangan punca pendapatan, malah akan menimbulkan kos perbelanjaan lain seperti belanja perubatan yang sangat tinggi.

Atasi masalah kewangan.

Ini boleh menjejaskan kehidupan dan kedudukan kewangan bukan sahaja individu itu sendiri, tetapi kepada ahli keluarga mereka. Melalui takaful perubatan dan kesihatan, bebanan menanggung kos rawatan dan perbelanjaan perubatan lain akibat hilang upaya da penyakit kronik akan dipindahkan kepada syarikat takaful. Maka, individu tidak perlu berdepan dengan masalah kewangan akibat kemerosotan kesihatan mereka. Masyarakat perlu memahami bahawa wujud beberapa faktor yang menyebabkan takaful perubatan dan kesihatan semakin penting hari ini. Pertama, kos penjagaan kesihatan yang semakin mahal.

Kos ini merangkumi kos rundingan doktor, jururawat, ubat, peralatan perubatan dan bangunan. Peningkatan dalam teknologi perubatan memerlukan dana yang sangat tinggi.

Kos seperti penyelidikan perubatan yang dilakukan, pembangunan peralatan perubatan dan farmaseutikal yang baru dan kelulusan dari pihak kerajaan memakan belanja sehingga billion ringgit. Kos perubatan dijangka terus meningkat pada masa depan ekoran inflasi.

Kedua, bilangan kes penyakit kronik yang tinggi. Walaupun teknologi perubatan semakin maju, bilangan penghidap bagi penyakit kronik juga meningkat. Penyakit kronik termasuk kanser, buah pinggang,sakit jantung, kelumpuhan, penyakit hati kronik, HIV, encephalitis dan lain-lain lagi. Kos perubatan bagi penyakit ini memang tinggi kerana ia membabitkan rawatan yang berterusan dan konsisten.

Ikatan kekeluargaan kian lemah.

Ketiga, struktur ikatan kekeluargaan yang semakin lemah. Pada masa dahulu, budaya kekeluargaan dalam majoriti penduduk sangat kuat dengan anggapan bahawa anak akan menjaga ibubapa yang sudah tua. Namun, budaya itu sudah berubah mengikut peredaran masa. Keperluan dan perbelanjaan ibubapa yang sudah tua, tidak lagi menjadi perhatian anak-anak. Anak akan merasa selesa dengan kehidupan mereka sendiri.

Faktor terakhir ialah peningkatan umur penduduk. Dalam satu kajian disimpulkan bahawa menjelang 2020, Malaysia akan menhadapi bilangan penduduk tua yang meningkat disebabkan taraf kehidupan yang semakin baik dan kemajuan dalam bidang perubatan dan penjagaan kesihatan.

Jangka hayat meningkat.

Jangka hayat kelahiran rakyat Malaysia dijangka bertambah bagi perempuan dan lelaki masing-masing daripada 75 tahun dan 70 tahun pada 2000 kepada 79 tahun dan 75 tahun pada 2020. Dengan peningkatan jangka hayat dan menurun kadar kelahiran, peratus penduduk berusia 55 tahun ke atas dijangka meningkat kepada 14 peratus pada 2020 berbanding 9 peratus pada 2000.

Berasaskan kepada 4 faktor ini, masyarakat seharusnya lebih peka dengan kepentingan takaful perubatan dan kesihatan kerana peranan dan fungsinya dalam memberikan sokongan kewangan yang lebih terjamin dan pada masa sama, membiayai kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat pada hari ini.

Ia juga akan memastikan masyarakat mencapai sumber kewangan yang lebih bebas bagi menikmati kehidupan lebih terjamin dan sejahtera pada usia yang semakin tua pada suatu masa nanti

Kredit Penulisan : Puan Ruhaya Yakob (Pensyarah UKM)

Advertisements